Thursday 6 December 2012

PTRNTD Bab 6

Tiga minggu telah berlalu. Kehidupan...dalam apa situasi pun akan tetap berlalu bersama peredaran masa. Suka,tak suka manusia terpaksa lalui juga mengikut kehendak ‘ Yang BerKuasa.’

Yuhanis menjinjit kasutnya menuju ke pintu. Masa untuk makan tengahari. Sedikit awal hari ini, baru pukul sebelas lebih. Langkah Yuhanis terhenti bila matanya terpandang satu beg plastik yang terletak di tepi kabinet kasut. Nampaknya berisi pakaian...bergumpal-gumpal tak berlipat...macam pasimbor kat kedai mamak.

Pintu kabinet juga tidak bertutup. Ternganga saja menampakkan susunan kasut yang sudah tunggang langgang. Sepasang stokin yang bercerai dengan pasangan turut berada di situ.... sebelah di atas kabinet, sebelah lagi...aa,dalam kasut sukan. Terjuntai. Ada orang sumbat kat situ. Orang mana lagi.

 Mesti ‘The Rock’ terlewat bangun. Tu yang tak jadi ‘mr. Perfect’ pagi ni. Yuhanis menyusun semula kasut-kasut. Stokin dikahwinkan dan diletak di atas kabinet. Pintu kabinet ditutup rapat seperti biasa.

 Yuhanis membelek beg plastik pula. Tertera nama kedai dobi di situ..’.Kedai Dobi Fajar Hajar’. Nama yang unik. Senang diingati. Yuhanis selalu saja melintas di depan kedai dobi itu yang terletak selang dua buah kedai dari butik yang disinggahinya beberapa hari lalu. HUH, banyaknya baju kotor. Malasnya. Memang semua orang lelaki malas basuh baju agaknya.

Hari ini Yuhanis tidak terus ke kedai makan seperti biasa. Dia menuju ke kedai dobi Fajar Hajar dahulu. Naik senget dia menjinjing beg plastik itu. Kenapa dia baik hati sangat...entahlah. Nak kata isteri mithali....tak kena rasanya. ...isteri yang tak dipeduli,...mm, itu le gayenya. Itu le sebenor-benornya.

* * * * * * * *

“Akak nak ambil baju Encik Shaiful Mizan sekali ke ?” soal anak muda yang bertugas di kedai dobi. Ada resit lama di tangannya. Sedari tadi memang sedia terlekat di beg plastik yang dibawa Yuhanis.

“Eer, awak kenal ke tuan baju ni ? ......ada baju yang nak kena ambil ke ?” tanya Yuhanis kembali.

“Ha’ah...Encik Shaiful Mizan ni pelanggan tetap di sini. Semua pakaiannya dihantar basuh di kedai dobi ni....biasanya setiap kali hantar baju kotor, dia akan ambil yang dah siap.” Terang anak muda itu. Terkebil-kebil matanya melihat Yuhanis. Orang baru.

Tak diambil, nanti tak berbaju pulak ‘The Rock’ nak pergi kerja...fikir Yuhanis. Yuhanis membalas renungan anak muda di kaunter seketika.

“Ok lah, saya ambil sekejap lagi....saya nak pergi makan dulu.....awak dah makan ke belum ?” kata Yuhanis sengaja berbahasa dengan anak muda itu. Dah tengahari. Jam di kedai dobi itu pun sudah menunjukkan pukul dua belas.

“Belum lagi kak...mmm, saya bawa bekal roti hari ni...tak sempat masak....kalau makan kat kedai, parah poket saya ni nanti..hi,hi,hi.”jawab anak muda itu sambil ketawa kecil. Bundut baju diangkat ke atas alat penimbang.

“Ok, kak...sepuluh setengah kg. semuanya.”

Yuhanis sekadar mengangguk. Padanlah sampai senget bahu dia membawanya tadi..bisik hati Yuhanis. Bundut baju kemudiannya dimasukkan ke dalam raga di tepi kaunter pula. Nampak macam ringan saja budak tu mengangkat.

 Anak muda itu menulis sesuatu pada buku resit, kemudian mengoyak resit tersebut lalu di lekatkan pada beg plastik ‘The Rock’. Yuhanis hanya memerhati gerak kerja anak muda di hadapannya.

 Segak, ada rupa budaknya, tapi kurus sangat. Tinggi pun tinggi. Dah macam kacang panjang saja....panjang dan kurus.

“Kalau macam tu...saya pergi makan dulu...kejap lagi sebelum balik saya datang ambil baju tu, mm.”kata Yuhanis sebelum berlalu.

* * * * * * * * *

‘.....bawa roti.....tak sempat masak...’...Sambil menyuap nasi,Yuhanis masih teringat-ingat lagi kata-kata anak muda petugas kedai dobi tadi.

‘Dia yang senang lenang ni pun malas nak masak.Bukan malas tapi tak balik modal rasanya kalau setakat nak masak untuk dirinya seorang...mm, kesian budak tu...budak jantan pulak tu.’

 Semua orang ada cerita hidup masing-masing. Ada yang mempunyai latar belakang yang senang, kaya raya dan bahagia. Ramai yang berlatarkan kehidupan sedih dan dalam kesusahan. Wang ringgit bukan segalanya 
...tapi...jika tak ada,hidup bertambah derita dan sengsara.

Entah mengapa sampai selesai makan Yuhanis masih terfikir-fikir pasal budak petugas dobi itu. Selesai membuat pembayaran Yuhanis melangkah semula ke kedai dobi.

Kali ini seorang wanita pertengahan umur pula yang sedang menjaga di kaunter kedai dobi. Terpaksalah Yuhanis memperkenalkan diri dan menerangkan perihal baju ‘The Rock’.

“Budak laki-laki tadi tu ke mana kak....saya dah janji nak ambil baju Encik Shaiful Mizan dengan dia tadi.” Kata Yuhanis selepas memberi  penjelasan.

“Mmm,budah Yusri tu tengah jemur karpet kat belakang....kerja-kerja berat tu dialah yang kena buat...Kak Timah tak larat.” Jelas petugas bernama Kak Timah, sebelum berlalu ke bilik sebelah.

‘Yusri ?’  Yusri? ....Eh, betul ke apa yang aku dengar ?..bisik hati Yuhanis.

 Kak Timah muncul semula dengan sebundut baju yang telah siap digosok. Pakaian itu dimasukkan ke dalam beg plastik. Kemudian sekeping resit dilekat menggunakan ‘cellopane tape’ pada beg plastik yang tertulis nama kedai dobi itu.

 Yuhanis membelek resit untuk melihat harga yang perlu djelaskan. Ada tertulis nama Encik Shaiful Mizan di resit tersebut ....’The Rock’ lah tu. Sekeping duit kertas lima puluh ringgit dihulurkan untuk membuat pembayaran.

“Kak Timah kerja berdua saja ke kat kedai dobi ni ?” tanya Yuhanis lagi sambil menunggu  Kak Timah mengira duit baki.

“Kami bertiga...tapi hari ni sorang lagi tu terpaksa cuti sakit...anak dia demam, jadi si Yusri kena kerjalah.. kalau tak Yusri kerja sebelah petang aje, lepas balik sekolah...dah jadi macam ni..apa lagi terpaksa ponteng sekolah dua tiga harilah budak tu.” Kata Kak Timah sambil menyusun baki duit pembayaran di atas kaunter di hadapab Yuhanis.

‘Yusri’...memang Yuhanis tak silap dengar. Serupa denga nama arwah adiknya..Yusri Amri.

“Oh, sekolah lagi....tapi rugilah kalau selalu jadi macam ni.” ujar Yuhanis sambil mengaup duit baki dari atas kaunter.

“Nak buat macam mana ....nak sara dua adik lagi....emak ayah dah tak ada....anak yatim piatu....dulu orang kebajikan nak ambil adik-adiknya duduk kat rumah anak yatim, si Yusri tu tak bagi.”terang Kak Timah .

 Terhenti pergerakkan tangan Yuhanis yang sedang menyimpan baki duit ke dalam beg sandangnya. Hati Yuhanis dipagut sayu.

‘Yusri.!..Yusri.’...Bergenang air mata Yuhanis. Yuhanis memejam celik kan matanya beberapa kali. Terbayang wajah arwah Yusri adiknya. Dia tidak mahu mengalirkan air matanya di situ. Ketat terasa di dadanya. Yuhanis kena tabah.

Arwah Yusri seorang adik yang baik. Yuhanis rindu pada adiknya.

 Tak sangka budak muda itu senasib dengannya...tapi masih bertuah kerana masih ada adik beradik. Dia hanya sebatang kara.

Namun keadaan mereka berbeza. Budak muda itu perlu bekerja untuk menyara adik-adik yang lain. Tentu sukar sedangkan budak itu masih di bangku sekolah. Ada anak yatim yang lebih susah dan malang darinya.

 Nasib Yuhanis lebih baik. Sudah tiada ibu dan ayah, juga semua adik-adiknya....tapi duit insuran nyawa seluruh keluarganya yang dibawah nama Yuhanis sangat banyak, lebih dari cukup untuk menampung kehidupannya hingga ke hari tua.

Tidak termasuk  duit saku yang diberi emak dan ayah angkatnya.....juga...tidak termasuk lagi duit sewa dua buah kedai dan tiga buah rumah sewa, harta peninggalan arwah ibu ayahnya. Memang tak habis makan.

Yuhanis boleh hidup mewah walau pun tidak bekerja. Jika hendak dibandingkan dengan nasib Yusri yang terpaksa bekerja untuk menyara diri dan dua orang adik, sambil bersekolah. Yuhanis jatuh simpati kepada nasib anak muda itu. Mereka senasib..sama-sama anak yatim piatu.

Tiba-tiba Yuhanis terbayangkan jika arwah adiknya yang berada di tempat Yusri ini..aaarrgh, sedihnya, kesiannya... jika itu keluarganya...pasti Yuhanis akan menolong adiknya....bolehkah dia menolong...’Yusri’ ini...jika Yuhanis mahu menolong,...bagaimana ye?....

“Hai, akak dah sampai....saya kat belakang tadi....maaflah,tadi tak sempat layan akak.” Ujar Yusri dengan senyuman. Lamunan Yuhanis terhenti. Wajah Yusri di hadapannya ditatap. Rupa tak sama tapi umur hampir sebaya. Arwah Yusri juga tinggi...lebih tinggi dari Yuhanis.

Terasa hiba pula Yuhanis melihat Yusri yang masih boleh tersenyum...kalau dia di tempat Yusri...entahlah....jangan-jangan tidak ada perkataan senyum dalam kamus hidupnya ...

“Laa, pergilah makan sekali Yusri.....Kak Timah boleh tunggu kaunter. Kak Timah dah siap makan tadi....tak tau lapar agaknya budak ni.” kata Kak Timah ketika melihat Yusri berdiri di sebelahnya.

“Mmm, tak apa Kak Timah....Yusri dah biasa... roti saya tu bukannya nak lari ke  mana, lagi pun tadi dah janji dengan akak ni.” jawab Yusri kepada Kak Timah. Tersengih-sengih lagi.
Yuhanis di hadapan kaunter turut mendengar....hati bertambah sedih walau pun Yusri menjawab selamba saja.

“Mmmm,...mmm...maaf Kak Timah, saya beli sebungkus je tadi......ni Yusri, saya niat nak belanja awak tadi.....lain kali saya belanja Kak Timah sekali....maaf ye kak.” Kata Yuhanis sambil menghulur beg plastik yang berisi sebungkus nasi dan dua jenis lauk dibungkus berasingan. Ada seketul besar ayam goreng....arwah adik-adiknya semua suka makan ayam goreng.

“ Tak apa...terima kasih,...Kak Timah dah makan tadi, budak Yusri ni je yang tak makan-makan lagi, tu yang kurus kering.” Kata Kak Timah. Sempat mencuit pinggang Yusri di sebelah. Yusri menepis-nepis tangan Kak Timah.

“Eh, susah susah je akak ni.....tapi terima kasih banyak-banyak kak...tak sangka,...ada juga orang yang kesian kat Yusri.....boleh gemuk hari ni, dapat makan sebungkus nasi macam ni.” ujar Yusri lagi dengan nada ceria.

Bertambah sedih lagi Yuhanis mendengarnya. Adakah Yusri yang kurus kering ini tidak pernah makan nasi sebanyak ini.....Cuma sebungkus je pun. Macamlah boleh gemuk hanya sekali ini  makan nasi sebungkus.

“Assalamualikum !”

Yuhanis menoleh memandang pelanggan yang baru tiba dan berdiri di sebelahnya. Seorang pemuda. Sangat kacak. Kemas lagi bergaya. Pandangan mata mereka bertaut seketika.

“Lewat abang hantar baju ....abang tak kerja ke hari ni ?” tanya Yusri kepada pelanggan yang baru tiba. Lelaki itu mengangkat dua bundut pakaian lalu di letakkan di hadapan Yusri.

“Hari ni abang ambil cuti....ada hal sikit.” Jawab pemuda itu. Sebuah senyuman dihadiahkan kepada semua termasuk Yuhanis di sebelahnya. Menambah lagi manis wajah yang sudah sedia handsome..

’Eh,eh apasal puji lelaki lain ni...dia bukan lagi ‘ single and available’...lupa diri dah jadi isteri orang...Yuhanis mengutuk diri sendiri.

“Hai...ambil baju dobi ke?” tegur pemuda itu kepada Yuhanis.

“Hantar dan ambil.” Jawab Yuhanis sekadar berbahasa sambil tersenyum kelat. ‘Tak kan beli ikan kot’ kata hati Yuhanis pula. Cuba mengelak dari terlebih mesra.

“Duduk kat taman ni jugak ke?...saya duduk kat fasa yang baru tu...sebelah taman ni saja.”Yuhanis rasa tak selesa bila soalan begitu dah keluar dari mulut mamat handsome di sebelah.

Angguk tidak, geleng tidak. Yuhanis sekadar tersenyum. Kelat lagi. Kalau senyum manis, nanti mahu banyak lagi soalan yang diajukan. Last-last ....boleh berkenalan ?

‘JANGAN MENGGATAL’.....Yuhanis teringat pesanan’The Rock’.
Pemuda itu membalas dengan senyuman yang lebih lebar. Murah senyum betullah mamat ni. Manis dan menawan sekali pulak tu.

‘....alahai, ruginya....masa bujang dulu, tak da pula terjumpa orang handsome macam ni...mm..nak tengok macam mana....jika hati sentiasa merindui Abang Nizam saja.’rungut hati Yuhanis lagi.

“Ok...saya balik dulu.” Yuhanis meminta diri. Cepat-cepat dia berlalu mencari teksi untuk pulang.Hari ini sudah hilang semua mood nak ronda pekan. Hati dah rasa tak seronok. Sepanjang jalan di dalam teksi hingga di rumah Yuhanis masih terbayang-bayang wajah pemuda itu.

* * * * * * * * *

Novel di tangan ditutup dan diletakkan di bawah bantal. Yuhanis duduk menupang dagu di atas katilnya. 
Fikirannya buntu dan terasa sempit seperti sempitnya bilik yang telah dihuninya sejak beberapa minggu ini.

Sejak balik dari pekan tadi Yuhanis rasa gelisah. Dia perlu bertindak segera...tapi dia tidak tahu bagaimana untuk mulakan. Tidak betah berada di bilik lagi Yuhanis mengatur langkah ke ruang tamu. Jam di dinding menunjukkan baru pukul dua suku petang. Masih awal untuk jadi halimunan. Belum waktu ‘The Rock’ balik 
dari kerja.

Penat bersila di atas sofa Yuhanis menongkat kedua-dua lutut pula. Sambil memaut lutut, matanya dihalakan ke skrin televisyen. Apa yang dilihat di skrin TV pun, entahlah. Matanya saja di situ, tapi fikiran ke lain.

Akhirnya Yuhanis meninggalkan sofa lalu melangkah ke dapur. Dia perlu berbuat sesuatu agar kesibukkan dapat menghilangkan keresahan di hatinya. ‘Mmm...apa dia nak buat ya?’ fikir Yuhanis sendirian.

‘Yes,  agar-agar laici!’....Yuhanis terus membuka kabinet,stor makanannya. Dua bungkus agar-agar dikeluarkan...oh, tambah satu bungkus lagi. Yuhanis akan buat tiga bungkus agar-agar. Tiga tin laici dibawa keluar. Juga tiga biji telur ayam. Gula pasir ada di dalam laci....dan satu lagi sebelum terlupa....Yuhanis tunduk semula, mencari gula merah di dalam kabinet.

Yuhanis mula sibukkan dirinya membuat agar-agar laici. Langkah pertama... pinjam periuk ‘The Rock’. 

Yuhanis mencuci dan merendam agar-agar kering terlebih dahulu. Kemudian Yuhanis mereneh agar-agar kering itu sehingga semuanya larut. Masuk secawan gula merah dan tambah gula pasir mengikut rasa.

Lepas tu giliran telur ayam pulak. Wait..wait...Telur ayam perlu dibasuh terlebih dahulu....yes, ini yang paling-paling penting. Yuhanis masih ingat kata-kata Ustazah Kalsum semasa di bangku sekolah dulu..

..”Sesiapa yang masak guna telur tanpa membasuh telur-telur itu terlebih dahulu, makanan itu akan tercemar dengan habuk-habuk najis yang melekat di kulit telur....maka orang yang memakannya samalah seperti  memakan najis tahi ayam....makanan yang kotor akan menggelapkan hati...makanan menempa hati..hati yang gelap akan sukar menerima ilmu...baik ilmu dunia, lebih-lebih lagi ilmu akhirat.”

Ketika membasuh telur Yuhanis terkenang akan Mak Azmah pula. Yuhanis teringat peristiwa Yuhanis bersama Mak Azmah ke pasar malam hendak membeli mertabak. Sewaktu berbaris untuk menunggu giliran, tiba-tiba saja Mak Azmah menarik Yuhanis pergi. Terpinga-pinga Yuhanis seketika.

“Dia tu tak basuh telur!” bisik Mak Azmah sebaik mereka sudah selangkah dua berjalan pergi.

“Haa..sapa?..telur?...telur apa?” ...Hi,hi,hi...Yuhanis masih teringat soalan bodohnya ketika itu.
Semenjak itu setiap kali hendak membeli mertabak Yuhanis akan mengendap terlebih dahulu, mencari dari mana telur itu diambil. Jika direct dari lekar...alamatnya ...sorry and goodbye.

Pernah satu peristiwa lain Yuhanis ke pasar malam sendirian. Jenuh Yuhanis menjengah ke kiri, menjengah ke kanan penjual untuk skodeng di mana telur-telur diletakkan. Tak nampak telur tapi  penjual mertabak yang terperasan akan gelagat Yuhanis. Terus saja pak cik penjual  bertanya..” Cik adik nak cari siapa?”

“Er,er..tak da apalah, pak cik” Yuhanis tak tau nak jawab apa...sebab Yuhanis serba salah nak jawab...”Telur, pak cik.”....rasa macam tak kena pulak.

Bila di ceritakan hal itu pada ayah dan Mak Azmah ketika sekembalinya ke rumah tanpa mertabak....Ha,ha,ha...punyalah besar ketawa mereka berdua. Yuhanis yang ketika itu masih tak faham, hanya terkebil-kebil memandang mereka.

Kini bukan setakat mertabak...Yuhanis juga akan berhati-hati untuk membeli roti canai telur...juga roti canai biasa. Ikutkan kalau telur untuk roti canai telur di kedai itu tidak dibasuh maka automatik roti canai biasa juga tidak boleh dibeli di situ sebab tangan yang sama jugak yang menyentuh semua itu. Tebar,tebar...pas tu,siap tepek-tepek lagi. Jadi tang mana yang tak kena taik ayam?

Begitu juga jika membeli kek dan puding di kedai kek bukan Islam. Ada mereka belajar cara membasuh telur yang betul itu semua? Orang Islam pun ramai yang tak habis belajar...inikan pula puak-puak itu. 

Masaalahnya kalau dah belajar tapi tak kuasa nak melaksanakannya, lagilah parah...tak pasal-pasal kita keluar duit, sendiri makan najis!

Dalam berangan –berangan....agar-agar sudah siap di dalam loyang. Pinjam loyang ‘The Rock’ jugak.Bukan sikit-sikit yang dihasilkan...enam bekas loyang semuanya. Mmm, boleh makan puas-puas.

Cuma tunggu sejuk. Simpan dalam peti sejuk....baru sedap dimakan..yum,yum,yum.

* * * * * * * * *

Mizan menyandar di sofa. Pintu utama sengaja dibiarkan terbuka. Dia yang membuka televisyen tapi mata ke lain... entah cerita apa, Mizan tak ambil tahu.  Sikit tidak dipandang..pandangannya dihalakan ke luar rumah. 

Mizan merenung keluar ...halaman rumahnya, pintu pagar dan jalan raya di hadapan rumah. Nampak rumah Uncle Muthu di seberang jalan..Sambil tangannya membuka baju kemeja yang sudah melekit di badan Mizan teringat kata-kata Uncle Muthu pagi tadi.

“Apasaal you tadak kasi itu gate punya kunci sama you punya adik? Ituu harii aaa,first time Uncle Muthu ada jumpa sama Mr.Mizan punya adiik aa..ada panjat ini gate...Uncle ada tanya sama dia...teruuus jatuh itu perempuan ...belakang balik punya jam...you punya adik ada panjat lagi satu kali...ayooyoo...itu taxi driver aaa...ada kasi stanby mahu tolong tolak itu perempuan punya punggung belakang. Uncle ada diam-diam sini juga duduk tenguk...nasib baik tadak jatuh lagi satu kali....kesiaaan sama dia.”

‘Adik?’....Huh...Mizan terpaksa dengar.
Sudahlah pagi tadi Mizan terbangun lambat, terpaksa pula mengetap gigi menahan sabar mendengar cerita Uncle Muthu...walaupun telah diberitahu yang dia sudah terlambat ke pejabat.

Akhirnya sepanjang jalan dan sepanjang hari di pejabat, kata-kata Uncle Muthu itulah yang bermain di kepala Mizan. Maknanya masih hidup lagilah ‘isterinya itu...Bagus, sekurang-kurangnya kurang sikit risau di hatinya memikirkan kewujudan mahkluk bernama Yuhanis itu.

‘Boleh tahan jugak ‘isterinya’ itu...panjat pintu pagar!...tahu dek emaknya, mahu seumur hidup cerita ini tak habis dirungutkan.’

Sudah dekat sebulan, sebelah kelibat Yuhanis pun Mizan tak pernah nampak. Hairan Mizan.  Bukan sikit-sikit punya hairan Mizan, bagaimana gadis itu dapat bertahan selama ini hidup seperti itu...menyorok darinya dua puluh empat jam sehari.

Dan punya banyak-banyak hairan di kepala Mizan.... kenapa setiap hari dia asyik memikirkan akan gadis itu....apa yang harus dia buat dengan isterinya itu...berapa lama gadis itu akan bertahan hidup seperti itu?

Badan penat satu hal. Kepala otak penat satu hal. Mizan buntu.

Seketika Mizan teringat dia belum mengerjakan solat Asar. Pintu utama ditutup. Mizan segera ke dapur untuk menghilangkan hausnya sebelum naik ke biliknya. Perut terasa lapar, memandangkan tengahari tadi dia tiada selera makan di kantin pejabat. Sekadar dua keping sandwich saja mengalas perut. Nanti-nantilah keluar makan selepas Mangrib, bisik hati Mizan.

Mizan membuka peti sejuk. Bulat mata Mizan. Mizan menelan air liur. Nak kata terkejut,tidak juga...bukannya ada ular sawa.

‘Alahai sedapnya!” keluh Mizan sambil menelan air liur berkali-kali sampai kering tekaknya.

‘Boleh ambil sikit tak?”

‘Boleh tak dia makan...teringin nak rasa.’

‘Bukan orang lain yang masak....isteri dia...HUH!’ Mizan tersedar diri.

BANG!

Pintu peti sejuk dihempas. Mizan melangkah laju naik ke bilik. Bengang. Bengang sangat-sangat. Kenapa perempuan tu buat begini kepadanya. Memang perempuan itu sengaja nak balas dendam kepadanya. Betul-betul menyusahkan.

Selesai mandi dan solat Asar Mizan berbaring. Ke kiri ke kanan, Mizan tak sedap baring. Mizan duduk pula menyandar di kepala katil. Tak sedap duduk juga.Terbayang-bayang rupa agar-agar di dalam peti sejuk tadi. Rasa nak meleleh air liurnya.

Nasib baik ada juga air liur. Sudahlah tadi, geram punya pasal...langsung lupa hendak minum. Sudahnya semasa sudah telanjang bulat dalam bilik air baru teringat akan air....sudah-sudahnya air paip sajalah yang Mizan buat hilangkan haus. Padan muka aku...bisik hati Mizan....dia dengan undang-undangnya!

No comments:

Post a Comment